Percaya atau tidak, anda boleh mengenal diri anda dengan mudah tanpa melawat hospital untuk mereka yang mengalami tekanan jiwa, ataupun dengan mengadakan sesi consultation dengan saya dengan yuran nominal bersamaan RM400 setiap jam (diskaun 10 peratus akan diberikan kepada mereka yang mengambil masa sehingga 5 jam ke atas). Untuk memudahkan hidup anda dan agar anda tidak perlu membayar saya yuran tersebut, dengan secepat yang boleh sila cari pen/pensel dan sehelai kertas. Sudah jumpa?
Bagus, sekarang baca 10 soalan di bawah dan jawab dengan seikhlas yang boleh. Anda tidak boleh berfikir terlalu lama untuk mencari jawapan, dan pilihlah perkara pertama yang akan terlintas di fikiran anda. Oh ya, anda juga harus menjawab semua soalan ini mengikut turutan dari yang pertama hinggalah yang kesepuluh. Ingat, jangan menipu diri sendiri dengan mencari rasional jawapan anda terlebih dahulu. Kalau sudah bersedia mari kita mulakan, anda hanya perlu membayangkan soalan yang diberi dan menjawab secepat yang boleh:
10 soalan tentang diri anda
1. Anda sedang berjalan dengan seseorang di dalam sebuah hutan yang sunyi. Siapakah yang sedang berjalan dengan anda?
2. Anda sedang berjalan seorang diri di dalam sebuah hutan dan anda ternampak seekor haiwan. Apakah haiwan yang anda nampak?
3. Jika anda boleh berinteraksi dengan haiwan itu, apakah soalan-soalan yang akan ditanya?
4. Anda berjalan semakin jauh ke dalam hutan yang sunyi itu dan tiba-tiba anda terlihat sebuah rumah yang cantik yang menjadi idaman hati anda. Ceritakan tentang rumah itu dari segi saiznya.
5. Adakah rumah idaman hati anda itu dikelilingi dengan pagar?
6. Anda pun masuk ke rumah itu dan ternampak sebuah meja makan. Cuba anda ceritakan apa yang anda lihat di atas dan di sekeliling meja makan itu.
7. Kemudian anda keluar dari rumah itu melalui pintu belakang. Di atas rumput kelihatan sebuah cawan. Ianya diperbuat daripada apa?
8. Apakah reaksi anda dan apa pula yang anda lakukan dengan cawan itu?
9. Kerana sudah bosan, anda pun bergerak ke hujung kawasan rumah itu di mana anda telah bertemu dengan air. Dari manakah datangnya (asalnya) air itu?
10. Bagaimanakah caranya anda akan melangkah untuk meredah air itu (jika perlu diredah)?
Percaya atau tidak, 10 Soalan yang saya berikan tadi adalah berdasarkan ujian Psikologi yang dikenali sebagai Ujian ‘Relational Values’. Ini bermakna, semua soalan tadi adalah berkaitan dengan nilai-nilai dan perkara materialistik yang anda pentingkan di dalam hidup anda. Saya sertakan analisis penuh setiap soalan untuk tatapan anda. Sudahkah anda dapat mengenali diri anda sekarang?
Analisis 10 soalan di atas, berdasarkan jawapan anda tadi…
1. Si dia yang sedang berjalan dengan anda itu adalah di antara orang yang paling penting dan paling anda percayai dalam hidup hingga setakat ini.
2. Saiz haiwan yang anda nampak itu adalah berkaitan dengan persepsi anda tentang masalah-masalah yang sedang anda hadapi dalam hidup.
3. Proses interaksi anda dengan haiwan itu sebenarnya melambangkan cara anda sedang menangani masalah-masalah yang anda hadapi (contohnya amat agresif, selalu pasif atau tidak ambil hirau, dll).
4. Saiz rumah idaman anda itu adalah berkaitan dengan kemahuan anda untuk menyelesaikan segala masalah yang sedang anda hadapi.
5. Jika anda tidak ‘memagari’ rumah anda itu, bermakna anda seorang individu yang berpersonaliti terbuka dan anda menerima kritikan dan pendapat orang lain dalam hidup. Jika rumah itu ‘dipagar’, ianya bermakna personaliti anda agak tertutup dan anda suka berahsia lebih-lebih lagi tentang masalah, dilema atau konflik yang terpaksa anda hadapi.
6. Jika jawapan anda untuk soalan ini tidak berkaitan dengan makanan dan minuman, bunga-bungaan dan barang perhiasan atau tentang manusia serta individu lain – Ini bermakna dalam hidup, anda seorang yang lebih cenderung untuk murung dan rungsing.
7. Cawan yang anda jumpai itu adalah berkaitan dengan hubungan anda dan individu yang anda senaraikan dalam Soalan Pertama. Jadi, jika cawan yang anda jumpai itu diperbuat dari plastik dan bukannya besi – Ini bermakna perhubungan anda dan individu itu kurang kukuh dan mudah retak, dan sebaliknya (berpandukan dari apa cawan itu diperbuat).
8. Reaksi dan tindakan anda ke atas cawan itu sangat berkaitan dengan attitude anda terhadap individu yang anda senaraikan dalam Soalan Pertama.
9. Jika air itu datang dari dalam sebuah baldi ianya bermakna kemahuan (spirit) anda dalam hidup adalah kecil, tapi jika air itu datangnya dari sebuah lautan bermakna anda mempunyai kemahuan yang kuat untuk hidup dan menikmati kehidupan yang sebenar. Anda harus membuat perbandingan dari contoh ini.
10. Dan yang terakhir, jika anda langsung tidak basah ketika melintasi air yang anda jumpa, ini bermakna kemahuan seksual tidak penting dalam hidup anda. Jika anda basah kuyup pula, bermakna anda hidup untuk seks dek nafsu yang sentiasa membara!